Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Klang pintu masuk ekonomi negara, tarik ramai pelabur ke Malaysia

KLANG, 5 FEB: Klang terus berkembang menjadi pusat ekonomi utama negara berikutan mempunyai pelbagai infrastruktur sekali gus menjadikan Selangor sebagai pintu masuk Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar berkata dengan adanya Pelabuhan Klang iaitu pelabuhan ke-12 tersibuk dunia dan kedua di Asia, daerah itu berpotensi menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, dalam masa sama Klang juga menjadi pusat pentadbiran, industri dan pelancongan yang mencermin kekayaan lokaliti di samping masyarakat berbilang budaya serta fahaman.

“Klang bakal miliki jaringan pengangkutan awam menghubungkannya dengan Kuala Lumpur serta kawasan pantai barat Selangor hingga Taiping (Perak) menerusi pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

“Apabila bertemu pelabur tempatan dan luar negara, patik sering kali menyebut Selangor adalah pintu gerbang Asia dan pelabuhannya adalah pintu masuk ekonomi Malaysia,” katanya.

Menyampaikan sembah ucapan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sempena perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Amirudin berkata Klang juga bakal memiliki fasiliti kesihatan baharu di Kapar.

“Hospital baharu itu merupakan ilham DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi mengatasi kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang dibina di kawasan seluas 50 ekar di Meru.

“Dilengkapi fasiliti moden serta canggih, hospital memuatkan 300 katil mampu menyelesaikan isu pesakit menunggu lama bagi mendapatkan rawatan. Hospital dalam proses pembinaan dan dijangka siap akhir tahun depan,” katanya.


Pengarang :