Dua tahanan yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, ditahan di kawasan kebun kelapa sawit di Tapah pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekerja ladang di Tapah didatangi ‘tetamu’ lapar, berkaki ayam

TAPAH, 5 FEB: Kehadiran seorang pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor di sebuah rumah pekerja Ladang Felcra di Sungai Gempel di sini malam tadi, mengejutkan lima penghuni rumah itu.

Penyelia ladang Mohd Firdaus Salim berkata lelaki etnik Rohingya berusia lingkungan 20-an itu datang dalam keadaan lemah, berkaki ayam dan kelaparan pada kira-kira 8.40 malam.

“Saya menerima panggilan video daripada pekerja Indonesia yang tinggal di rumah dalam ladang itu memberitahu terdapat lelaki tidak dikenali meminta makan untuk 10 orang lagi sambil memegang perut dan memohon tempat perlindungan.

“Mereka memberi pendatang asing tanpa izin itu nasi dan lauk sebelum menyuruh dia tidur dalam bilik, sementara saya melaporkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya tahanan itu ditangkap pihak polis yang tiba di rumah kongsi semasa dia sedang tidur nyenyak, namun tidak dapat mengingati laluan untuk kembali kepada 10 lagi pendatang tanpa izin yang didakwa berada berhampiran lokasi yang terletak bersebelahan Hutan Simpan Kekal Bukit Tapah.

Mohd Firdaus berkata rumah kediaman pekerja itu terletak kira-kira lima kilometer dari Depot Sementara Imigresen Bidor dan kemungkinan cahaya lampu solar yang menerangi kawasan berkenaan menarik perhatian tahanan tersebut untuk datang mendapatkan bantuan serta meminta supaya tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Merah yang terletak dalam ladang itu turut berjaga-jaga susulan tangkapan dibuat di kawasan tersebut malam tadi.

Sukardi Bah Chapa, 46, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Sungai Merah, berkata 40 penduduk melakukan rondaan secara bergilir-gilir bagi memastikan keselamatan perkampungan itu daripada sebarang ancaman tahanan yang lolos.

“Kami melakukan rondaan dari malam hingga awal pagi kerana bimbang akan keselamatan 275 penduduk daripada 72 rumah yang terdapat di sini termasuk kanak-kanak dan wanita,” katanya sambil menambah pihaknya turut berhubung dengan pihak berkuasa sekiranya terdapat kehadiran individu tidak dikenali.

Dalam kejadian pada 9.50 malam 1 Feb lepas, sebanyaK 131 tahanan terdiri daripada etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh meloloskan diri daripada depot berkenaan.

Bagaimanapun, dua daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dan setakat petang tadi 56 pendatang tanpa izin itu telah diberkas.

-BERNAMA


Pengarang :