Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berucap sempena upacara mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya ke-7 di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 5 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ atur program temu masyarakat, selesai segera isu berbangkit

PETALING JAYA, 6 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan mengadakan sesi bertemu masyarakat bagi mengumpul maklum balas mengenai isu setempat.

Datuk bandarnya berkata program itu antara usaha untuk menyelesaikan beberapa isu berbangkit seiring matlamat menjadikan Petaling Jaya setaraf metropolitan lain.

“Kita mahu jadikan Petaling Jaya sebuah pusat yang unik dengan identiti tersendiri setaraf dengan metropolitan lain. Namun kita juga perlu selesaikan isu dibangkitkan penduduk.

“Saya sendiri akan turun padang bersama ahli majlis dan ketua komuniti untuk bertemu dengan penduduk setempat. Jika ada aduan penduduk, ini bermakna kita masih belum mencapai tahap terbaik.

“Sebagai contoh isu sampah, kita perlu tahu bagaimana masalah ini berpunca. Sebab itu kita kena bawa ahli majlis dan pegawai berkaitan. Bagaimanapun, ia perlu diselesaikan dengan kerjasama semua pihak termasuk penduduk,” kata Mohamad Zahri Samingon.

Beliau berkata demikian dalam majlis perakuan penerimaan jawatan sebagai datuk bandar di Ibu Pejabat MBPJ di sini, semalam

Mohamad Zahri dilantik sebagai datuk bandar Petaling Jaya ketujuh menggantikan Mohd Azhan Md Amir yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi.

Mengulas lanjut, beliau lebih 500 program atau projek dilaksana MBPJ mengikut teras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Malaysia Madani.

“Di bawah RS-1, 66 program dilaksana di bawah teras satu (pengukuhan ekonomi), teras dua inklusiviti sosial dan kesejahteraan (58 program), teras ketiga pemacu kelestarian (108 program) dan teras keempat tadbir urus (254 program).

“Selain itu, menerusi Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR2030) membabitkan 10 tema ia kini mencapai 87.7 peratus pada 2023 dan menyasarkan mencapai 90 peratus tahun ini,” katanya.


Pengarang :