Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis perasmian Pusat Konvensyen MPAJ dan majlis menandatangani MoU antara MPAJ dan CelcomDigi di Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Kerajaan berhak warta kampung warisan ratusan tahun

AMPANG JAYA, 6 FEB: Kerajaan berhak mewartakan kampung warisan berusia ratusan tahun sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco), termasuk kampung tradisi Cina.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu tidak seharusnya dijadikan bahan politik dan isu perkauman yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kita akan tengok, tidaklah semua (kampung) akan diwartakan, jika ada kampung yang berusia ratusan tahun, sudah pasti kita akan mewartakannya seperti kita mewartakan Gombak-Hulu Langat Geopark.

“Sebahagian daripada kawasannya membabitkan kampung Melayu. Itu sudah dilakukan lama sebelum ini tetapi mungkin tidak dilihat sebagai satu perkara yang bermanfaat kerana mereka hanya lihat isu politik,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) di Pusat Konvensyen MPAJ di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini dilaporkan berhasrat mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Menurutnya inisiatif bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah kampung berusia hampir 100 tahun itu akan dibincangkan dengan lebih teliti antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.


Pengarang :