EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari (duduk, tengah) bersama 200 peserta program Insentif Media Digital Usahawan Wanita Muda (Usahawanita) di Hotel Geno, Subang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program Usahawanita bantu naik taraf hidup wanita muda

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 6 FEB: Kerajaan Negeri komited meningkatkan taraf hidup wanita muda dengan menggalakkan penglibatan mereka sebagai usahawan digital.

Justeru EXCO pembangunan wanita berkata RM231,000 diperuntuk bagi menyediakan program Insentif Media Digital Usahawan Wanita Muda (Usahawanita).

“Objektif program ini jelas bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan wanita muda mengenai pentingnya program e-usahawan selain memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan tenaga pengajar.

“Apa yang penting adalah menaik taraf kehidupan wanita dan keluarga mereka seterusnya memberi sesuatu kepada komuniti melalui kejayaan yang diperoleh,” kata Anfaal Saari.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan program Usahawanita di Hotel Geno di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berswafoto bersama peserta program Insentif Media Digital Usahawan Wanita Muda (Usahawanita) di Hotel Geno, Subang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Seramai 200 peserta dipilih menyertai program itu membabitkan empat fasa iaitu latihan asas, lanjutan, pratikal dan pertandingan untuk 30 peserta terakhir bersama produk masing-masing.

Program dengan kerjasama Hijrah Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) akan menobatkan seorang Ikon Usahawanita Muda Selangor pada Jun depan.

Anfaal menambah dunia perniagaan bukan satu bidang yang asing bagi golongan wanita.

“Perlu disedari bahawa kita sedang berada di zaman globalisasi dan kata-kata tempat wanita hanya diceruk dapur adalah tidak relevan lagi.

“Pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tangan yang menghayun buaian itu sebenarnya berupaya menggegarkan dunia adalah benar,” katanya.


Pengarang :