Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia rancang kembangkan eksport minyak sawit ke Mesir

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Kementerian Perladangan dan Komoditi merancang untuk menjadikan Mesir sebagai bahagian penting dalam mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia ke benua Afrika menerusi Zon Ekonomi Terusan Suez.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerjasama ekonomi dalam sektor sawit antara Malaysia dan Mesir telah dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Duta Mesir di Malaysia, Ragai Tawfik Nasir, pada Isnin di pejabatnya.

“Mesir merupakan negara yang strategik bagi industri sawit kita kerana hampir 90 peratus eksport Malaysia kepada Mesir adalah sawit.

“Mesir mempunyai populasi bilangan penduduk seramai lebih 110 juta orang,” katanya menerusi hantaran di X, semalam.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga sedang mengkaji perkongsian bagi strategi pemasaran produk sawit dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama peserta swasta di kedua-dua negara.

Di samping Malaysia mempunyai kekuatan eksport sawit ke negara itu, Mesir juga mempunyai potensi kedudukan geografi strategik iaitu menjadi pintu masuk untuk menghubungkan ke negara-negara Afrika Utara, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :