Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan dokumen Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Dato’ Alias Salim pada Majlis IBR Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ketuai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tandatangani ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM, 7 FEB: Dato’ Menteri Besar hari ini mengetuai barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai iltizam membanteras gejala itu dalam pentadbiran.

Berlangsung di bangunan pentadbiran negeri di sini, lafaz ikrar  Dato’ Seri Amirudin Shari bersama ahli MMKN disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Dato’ Alias Salim.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim dan beberapa kakitangan pejabatnya turut sama melafaz ikrar dan menandatangani IBR.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melafazkan ikrar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 7 Februari 2024. Turut sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Dato’ Alias Salim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, sebelum ini beliau dan ahli MMKN sudah menandatangani IBR pada 2019 dan sesi kali ini selaras pelantikan baru ahli MMKN setelah Pilihan Raya Negeri Selangor pada Ogos tahun lalu.

“Ini bukti komitmen Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius komiten Kerajaan dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

“Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban dipamerkan kepimpinan Kerajaan Negeri menandatangai IBR membuktikan usaha membanteras dan memerangi rasuah bukan tanggungjawab ekslusif SPRM semata-mata sebaliknya dikongsi seluruh masyarakat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bercakap pada sidang media selepas sesi berkenaan Amirudin berkata membanteras rasuah menjadi tiang kepada pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk melalui laporan tahunan dan audit.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini diberikan penarafan risiko sederhana rasuah atas tindakan (pencegahan) yang dibuat. Menteri Besar Selangor Pemerbadanan atau MBI juga berjaya turukan risiko rasuah daripada ‘merah’ kepada sederhana. Ini hasil daripada langkah tatakelola dan pentadbiran untuk kita elakkan sebarang risiko kemungkinan berlakunya rasuah,” katanya.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Dato’ Alias Salim (kanan) menyampaikan Surat Penarafan Semula Risiko Rasuah 2023 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Setia Haris Kasim (kiri) sambil disaksikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu Alias berkata IBR merupakan penzahiran komitmen sesebuah organisasi dalam membanteras rasuah dan iltizam Kerajaan Negeri terhadap usaha itu wajar dipuji dan dicontohi.

“Usaha murni ini jelas memperlihatkan keikhlasan dan komiten mewujudkan budaya kerja kondusif dan bebas dari penyalahgunaan kuasa serta rasuah,” katanya.

IBR adalah inisiatif dibuat SPRM bagi memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah.


Pengarang :