Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berucap ketika Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023 di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih tiga juta tan karbon dioksida dikurangkan tahun lalu

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Lebih tiga juta tan karbon dioksida setara berjaya dikurangkan tahun lalu menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030, kata menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jumlah penyerapan karbon dicapai mencecah 45,195.22 tan, bersamaan penanaman 76.9 juta batang pokok atau pengurangan penggunaan 665,765 kereta setahun di jalan raya.

Jelasnya, penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga penting bagi mengukur kadar pelepasan gas rumah kaca bawah elemen tenaga, air, sisa, pengangkutan dan kehijauan atau penyerapan karbon.

“(Justeru), kerajaan berharap menjelang 2030, Malaysia akan mencapai sasaran mewujudkan 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon di 155 PBT seluruh negara,” katanya malam tadi.

Tambahnya, kerajaan akan terus memenuhi komitmen mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca sehingga 45 peratus menjelang 2030, selari aspirasi pelepasan karbon sifar bersih 2050.

Menurut Nik Nazmi, hasrat itu turut dizahirkan dalam Belanjawan 2024 untuk menjadikan Putrajaya sebagai model bandar rendah karbon Malaysia dan menjadi contoh kepada bandar lain.

“Ia juga memenuhi salah satu tonggak utama konsep Malaysia Madani iaitu kelestarian yang menjurus kepada kesejahteraan manusia dan alam sekitar untuk mencapai mutu kehidupan lebih baik,” katanya.


Pengarang :