Ketua Pegawai Eksekutif baharu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saipolyazan dilantik ketua pegawai eksekutif baharu MBI

SHAH ALAM, 8 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengumumkan pelantikan Saipolyazan M Yusop sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu bermula hari ini.

Dalam kenyataannya pagi ini, MBI memaklumkan pelantikan berkenaan bagi menggantikan Norita Mohd Sidek yang bersara selepas menerajui pemerbadanan itu sejak 2020.

“Ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan syarikat dan warga kerja MBI Selangor mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan atas komitmen, jasa dan bakti yang dicurahkan Norita.

“MBI Selangor mengalu-alukan kedatangan CEO baharu dan yakin kredibiliti serta pengalaman lebih 30 tahun merentasi pelbagai industri dan geografi meletakkan syarikat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis serah tugas semalam, Dato’ Menteri Besar yakin kepakaran dan kepimpinan dinamik Saipolyazan bakal menjadi nilai tambah kepada MBI dalam tahun mendatang.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut percaya kolaborasi dan sinergi MBI dengan Kerajaan Negeri dapat dipacu ke tahap terbaik demi merealisasi agenda pembangunan mampan Selangor.

Saipolyazan pernah menyandang jawatan penting antaranya di Petronas, Telekom Malaysia, Celcom Axiata Berhad dan sebuah syarikat pembinaan terkemuka di Timur Tengah.

Beliau juga pernah dilantik sebagai CEO Lembaga Zakat Selangor dan Executive Jet Aviation Sdn Bhd, manakala jawatan terakhir beliau ialah ketua pegawai operasi MBI.

 


Pengarang :