Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 50 peguam syarie baharu negeri terima pentauliahan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 8 FEB: Seramai 57 peguam syarie baharu menerima pentauliahan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di sini hari ini.

Pentauliahan disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sambil disaksikan Ketua Hakim Syarie Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata pentauliahan itu lambang kesediaan peguam syarie dalam membantu masyarakat Islam negeri ini termasuk institusi kehakiman syariah.

“Kerjaya peguam syarie bukanlah semata-mata sebagai lubuk rezeki dan populariti, sebaliknya perlu mendukung kedaulatan undang-undang dan menjaga kredibiliti mahkamah syariah itu sendiri,” katanya.

Beliau menambah Mais dan Jakess menjunjung amanah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam memastikan hal ehwal agama dan erta kedaulatan undang-undang syariah terus terpelihara.

Abdul Aziz menjelaskan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menitahkan supaya kewibawaan kedua-dua institusi berkenaan tidak dicabar mana-mana pihak.

“Selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Baginda mengingatkan yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan Islam.

“Saya percaya dengan adanya pemikir Islam dan pakar perundangan berkredibiliti, kita dapat mempertahan institusi kehakiman dan perundangan syariah negara ini,” katanya.


Pengarang :