EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas meninjau kerja mendalamkan dan pembersihan Sungaki Klang di Zon 6, Alam Impian, Shah Alam pada 8 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

El Nino: Simpanan air mampu tampung keperluan penduduk untuk sembilan bulan

SHAH ALAM, 8 FEB: Semua empangan dan simpanan air di Selangor mampu menampung keperluan penduduk untuk sembilan bulan sekiranya negeri berdepan cuaca panas atau fenomena El Nino.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata simpanan air mentah itu membabitkan pelaksanaan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

“Dalam SJAM ini kita bukan sekadar lihat isu banjir tetapi juga keperluan air jika berlaku kemarau. Ini merupakan tambahan untuk empangan kita.

“Kita tidak tahu kemarau akan berlaku atau tidak. Biasanya tujuh atau lapan tahun sekali. Kali terakhir pada 2014 dan ia sepatutnya berlaku lagi pada 2022, tetapi tiada,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas melawat tapak Zon 8 bagi projek pemuliharaan Sungai Klang di Alam Impian di sini, hari ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau kerja mendalamkan dan pembersihan Sungaki Klang di Zon 6, Alam Impian, Shah Alam pada 8 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selangor pernah melaksanakan pelan catuan air pada 2014 susulan penurunan paras empangan akibat cuaca panas luar biasa dan pengurangan kadar hujan yang ketara.

Minggu lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca kering dan panas dialami negeri di utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November lalu turut menjangkakan fenomena El Nino yang mencetuskan suhu global yang lebih tinggi berlarutan sekurang-kurangnya sehingga April 2024.


Pengarang :