Dekorasi naga dengan limpahan lampu neon dan LED berwarna-warni di Tokong Si Thian Kong, Kuala Pilah menaikkan semangat masyarakat Cina untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Gambar dirakam pada 4 Februari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Persiapan sambut tahun naga meriah, harap bawa tuah berganda

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Dua hari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, masyarakat Tiongua di negara ini semakin bersemangat membuat persiapan bagi menyambut tahun naga yang dianggap membawa tuah berganda dalam kalendar zodiak Cina.

Mengambil semangat karisma dan kekuatan selain kreativiti naga, rata-rata masyarat Cina percaya aura positif yang dibawa oleh zodiak itu akan memberi kejayaan berganda dalam kehidupan mereka pada tahun ini.

Di KELANTAN, Chin Qi Yao, 31, dari Gua Musang berkata dia telah membelanjakan hampir RM10,000 daripada sebahagian wang simpanannya untuk membeli hiasan rumah seperti bunga ‘meihua’ dan pelbagai jenis tanglung bagi menceriakan lagi sambutan tahun baharu.

Antara doa-doa dan harapan yang ditulis di atas kertas merah mula digantung sebagai hiasan Tahun Baharu Cina oleh penduduk setempat di Kampung Baru, Gua Musang pada 7 Februari 2024. Foto Facebook BERNAMA

Pembantu kedai makan itu berkata memandangkan kaum Cina percaya bahawa tahun naga akan memberi tuah, kejayaan dan keberuntungan, menggantung banyak tanglung di setiap penjuru halaman rumah dipercayai dapat menjemput aura positif.

“Saya juga menggantung pelbagai jenis dan saiz tanglung untuk memastikan rumah terang-benderang sepanjang tahun baharu. Menggantung tanglung juga bermaksud mengalu-alukan kepulangan ahli keluarga dan kedatangan tetamu pada hari perayaan nanti.

“Selain itu, bagi tahun naga ini saya memilih untuk mempamerkan hiasan ‘jinyuanbao’ atau jongkong dan duit emas yang bermaksud kemewahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Papan 2 di Gua Musang hari ini.

Menurut Chin dia mula mendapatkan kelengkapan hiasan sejak dua bulan lepas dengan membeli daripada kedai dekorasi serta secara dalam talian pada harga serendah RM2, selain turut membuat sendiri beberapa hiasan daripada angpao untuk digantung di bahagian dalam rumah.

Pada masa sama, ibunya Arob Rattanaburi, 54, berkata dia bersama suami Chin Swee Cheng, 72, turut teruja menyambut perayaan tersebut setelah melihat semangat yang ditunjukkan anaknya untuk menghidupkan suasana tahun baharu.

“Hari ini merupakan hari terakhir untuknya mencuci dan menyapu di sekitar kawasan rumah. Kaum Cina tidak lagi melakukan kerja-kerja pembersihan rumah pada malam tahun baharu kerana tidak mahu ‘menyapu’ dan ‘membuang’ kekayaan dari hidup,” katanya.

Di PERLIS, Poh Hui Nee, 42, dari Kuala Sanglang di Arau berkata dia bersama keluarga memilih menghias rumah dengan tanglung dan pokok yang lebih banyak berbanding tahun lepas.

“Saya selesai mencuci rumah kedai dan menghias rumah dengan pelbagai hiasan untuk Tahun Baharu Cina. Sebelum ini tidak ada hiasan pokok, tanglung pun sikit saja. Kali ini tanglung banyak dan hiasan pokok juga banyak termasuk ada hiasan pokok berbentuk naga,” katanya.

Pemilik kilang colok tradisional Ong Chin Chye, 64 menunjukkan colok naga yang telah siap ketika ditemui di sebuah kilang membuat colok tradisional di Kubang Semang pada 3 Januari 2024. Foto BERNAMA

Di PULAU PINANG, peniaga ikan di sebuah pasar di Bukit Mertajam, Lam Ooi Chok, 52, berkata Tahun Baharu Cina tahun ini lebih meriah memandangkan dia dan isteri akan menyambut bersama cucu lelaki yang berusia enam bulan.

“Saya datang sini (pusat beli-belah) kerana hendak tambah beberapa pakaian baharu untuk cucu. Saya ada empat orang anak dan tiga daripadanya bekerja di ibu negara, mereka dijangka tiba esok sebelum kami bersama-sama ‘makan besar’ dan ini saat yang ditunggu setiap tahun,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth mendapati persiapan Tahun Baharu Cina kini rancak dengan pusat beli-belah diwarnai dengan hiasan bertemakan sambutan itu, selain peniaga turut sibuk menganjurkan pelbagai promosi jualan bagi menarik pelanggan.

Keadaan di SARAWAK pula menyaksikan jalan utama di sekitar bandar raya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sesak apabila anak-anak Sarawak dari perantauan pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan tersebut bersama keluarga.

Pekerja swasta Natasha Jee, 31, dari Kuching berkata keluarganya telah membuat persiapan seperti mengecat dan mengemas rumah sejak minggu lepas bagi mengelakkan persiapan pada saat akhir.

“Kini kami cuma perlu beli makanan untuk sesi makan besar bersama keluarga esok. Selain itu, kami juga akan membeli pakaian baharu kerana menjadi satu tradisi memakai pakaian baharu pada hari pertama Tahun Baharu Cina,” katanya.

Memasuki tahun baharu kalendar lunar pada 10 Feb ini, Tahun Naga antara detik yang paling diraikan kerana mengikut ilmu warisan masyarakat Cina kuno, Feng Shui tahun ini bakal membawa perubahan yang besar kepada masyarakat itu.

– BERNAMA


Pengarang :