Pengerusi Axiata Group Berhad Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berucap di hadapan peserta Siri Program Kepimpinan Muda di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 5 Februari 2024. Foto Facebook Tabung Haji
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

88 pelajar cemerlang Selangor ikuti program kepimpinan muda Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 8 FEB Seramai 88 pemimpin pelajar dan pelajar cemerlang dari 22 sekolah luar bandar yang terpilih di Selangor berpeluang menimba ilmu dan pengalaman daripada tokoh industri berjaya menerusi Siri Program Kepimpinan Muda yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan hari ini berkata program kepimpinan itu bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berkualiti, sekali gus menjadi duta remaja TH.

Beliau berkata program berkenaan menampilkan Pengerusi Axiata Group Berhad Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan yang berkongsi mengenai falsafah kepimpinan, kualiti yang diperlukan, cabaran dan pengajaran daripada pengalaman peribadi sepanjang kerjayanya.

Menerusi program dua hari yang bermula Isnin lepas di Menara TH itu, peserta turut mengikuti ceramah modul pemantapan sahsiah rohani oleh selebriti televisyen terkenal yang juga ahli kumpulan nasyid UNIC, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin.

“Di samping itu, kemahiran kepimpinan para peserta turut diuji melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang turut melibatkan Pengurusan Tertinggi TH.

“Kami berharap inisiatif ini dapat mendedahkan anak-anak muda ini kepada suasana dunia korporat di samping membantu memantapkan kemahiran dan menyemai keyakinan mereka bagi mendepani cabaran masa hadapan dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara, Insya-Allah,” katanya.

Program yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Syed Hamadah berkata TH sebagai sebuah institusi pengurusan haji negara dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan amat prihatin dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha pembangunan generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar luar bandar yang memerlukan pendedahan, kemudahan dan kelengkapan pembelajaran agar dapat bergerak seiring dengan kemajuan semasa.

– BERNAMA


Pengarang :