Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 9 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong tidak melupakan golongan memerlukan terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina apabila menghulurkan sumbangan keperluan asas kepada mereka.
Wayne Ong Chun Wei berkata sumbangan keperluan asas dan juga angpau itu bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan perayaan itu.
“Selain menyantuni individu terlantar dan kurang berkemampuan, kami turut meraikan warga emas daripada beberapa rumah kebajikan dengan menyampaikan sumbangan limau mandarin dan angpau.
“Dengan sumbangan kecil dan lawatan ini ia menceriakan mereka,” katanya ketika dihubungi.
Chun Wei turut memaklumkan pihaknya mengedar 700 kotak limau mandarin sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
“Saya turun padang menyantuni penduduk sekitar yang mengunjungi pasar seperti di Sungai Chua, Kampung Baru Balakong, Kampung Baru Batu 11, Taman Megah dan Bandar Damai Perdana.
“Selain itu, barisan hadapan seperti anggota polis dan bomba tidak dilupakan kerana pengorbanan mereka bertugas memastikan keselamatan awam sangat besar, jadi kita turut sampaikan sumbangan limau mandarin sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Pada masa sama Chun Wei menjelaskan berkaitan sumbangan rumah ibadat pihaknya akan cuba memenuhi setiap permohonan yang dikemukakan.