Orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (Padu) di kaunter yang disediakan Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia Selangor ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 4 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

2.82 juta kemas kini maklumat sistem pangkalan data kerajaan takat 8 Februari

KUANTAN, 9 FEB: Penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) kini dilihat bertambah baik, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata sehingga semalam 2.82 juta individu mengemas kini maklumat menerusi sistem berkenaan sejak ia dilancarkan 2 Januari lalu dan pihaknya giat melaksanakan program turun padang bagi memberi penerangan serta kefahaman kepada masyarakat.

“Penerimaan semakin baik dan meningkat, bila kita turun padang orang ramai mengalu-alukan…mereka mengetahui tidak ada satu perkara yang dilakukan oleh kerajaan untuk menyebabkan perkara tidak baik kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika hadir memberikan taklimat mengenai Padu kepada jemaah solat Jumaat Masjid Tepian Putra di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pahang Razaman Ridzuan.

Di Pahang, 148,422 individu mengemas kini maklumat sistem Padu setakat semalam dan sehingga hari ini 167 kaunter fizikal dibuka di beberapa lokasi antaranya di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan serta masjid.

Selain itu, DOSM Pahang turut melaksanakan lebih 700 sesi turun padang bagi menyampaikan maklumat dan membantu penduduk Pahang mengemas kini maklumat menerusi sistem Padu selain mengadakan kerjasama dengan pejabat Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzir berkata antara cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan sistem ini ialah memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan dan manfaat Padu, bagaimanapun pihaknya komited untuk melaksanakannya.

“Bagi tempoh jangka panjang, data ini memang diperlukan oleh sesebuah negara maju supaya maklumat semasa rakyat dapat diketahui bagi kerajaan uruskan sumber dengan cekap,” jelasnya.

Menyentuh aspek keselamatan sistem tersebut, beliau berkata isu keselamatan adalah perkara yang sangat penting dalam pembangunan Padu dengan tiga elemen utama jaminan keselamatan diambil kira iaitu aspek keselamatan data, sistem dan rangkaian.

“Bagi sistem negara faktor keselamatan ialah paling utama, kita tak ada satu usaha dibuat sewenang-wenangnya bagi mendatangkan perkara tidak baik kepada rakyat, dalam menguruskan data, keselamatan dan penjagaan supaya tidak dicerobohi adalah satu perkara penting,” katanya.

Sebagai contoh bagi memastikan kerahsiaan data terjamin, lapisan Kawalan Akses Capaian Data (RBAC) telah diwujudkan selain data yang terkandung dalam Padu juga dilindungi dengan penyulitan data menyeluruh.

Selain itu, untuk memastikan hanya individu sebenar yang boleh mendaftar atau masuk (log in) ke sistem Padu, pengesahan pelbagai faktor (MFA) turut digunakan bagi kawalan capaian kepada sistem Padu.

Katanya agensi utama antaranya CyberSecurity, Agensi Keselamatan Siber Negara turut terlibat dalam memelihara dan menjamin keselamatan data sistem itu.

– BERNAMA


Pengarang :