AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan, Permaisuri mahu Tahun Baharu Cina disambut harmoni, toleransi

SHAH ALAM, 9 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor
berharap Tahun Baharu Cina disambut dalam suasana yang aman, harmoni dan penuh toleransi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bertitah agar budaya mempererat hubungan kekeluargaan di musim perayaan sebegini dicontohi oleh setiap masyarakat tanpa mengira kaum.

“Baginda berdua menaruh harapan agar perayaan kaum sebegini terus disambut dalam suasana yang aman, harmoni dan penuh toleransi.

“Baginda mahu budaya mempererat dan memupuk kehidupan berkeluarga di musim perayaan sebegini dicontohi dan diamalkan oleh setiap golongan masyarakat tidak mengira kaum, khususnya dalam menghargai masa bersama keluarga serta menjadikannya keutamaan yang lebih besar,” menurut Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda berdua menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia yang meraikannya.

Baginda turut berpesan kepada para pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan berwaspada ketika memandu agar selamat sampai ke destinasi.


Pengarang :