Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam ketika melawat tapak isu kecurian benih kerang di Jeti Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada 13 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cadang wujudkan pos pangkalan perangi isu curi benih kerang

SABAK BERNAM, 13 FEB: Cadangan mewujudkan pos pangkalan hadapan di pesisiran Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara usaha Kerajaan Negeri bagi menangani isu kecurian benih kerang di kawasan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu juga dapat membanteras penggunaan bubu naga yang mengancam ekosistem perikanan secara lebih tuntas dengan kerjasama agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah mengenal pasti beberapa tapak untuk dijadikan pos kawalan supaya aktiviti pemantauan dapat dilaksanakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia semuanya berada di Pelabuhan Klang, sedangkan jaraknya dengan jeti Bagan Nakhoda Omar (Sabak Bernam) lebih kurang 60 batu nautika.”

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat sebelum melawat tapak isu kecurian benih kerang di Jeti Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada 13 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ditemui selepas lawatan tapak di jeti berkenaan hari ini, beliau menambah sebanyak 10 lokaliti dikelaskan sebagai lokasi panas seperti Sungai Haji Dorani, Assam Jawa dan Bagan Tengkorak.

Amirudin berkata pihaknya turut giat mengenal pasti aset dan peralatan sesuai bagi pemantauan di kawasan kecurian benih kerang yang tidak boleh dilalui bot biasa kerana berlumpur.

“Mereka yang menggunakan bubu naga juga lebih canggih kerana menandakannya dengan sistem kedudukan sejagat (GPS), bukan lagi bancang atau pelampung.

“Namun, apa yang penting, operasi berterusan akan dilaksana dan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan pada bila-bila masa,” katanya.

Katanya lagi, Lembaga Urus Air Selangor akan melaksakana dasar pelepasan sifar bagi mengatasi isu pencemaran yang didakwa menjejaskan pembenihan kerang di kawasan Kampung Tok Muda Kapar, Klang.


Pengarang :