Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan ketua kampung sempena Majlis Apresiasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB seru ketua kampung, pengurusan komuniti sampaikan dasar negeri

SHAH ALAM, 14 FEB: Ketua kampung tradisi dan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seharusnya memainkan peranan menyampaikan dasar Kerajaan Negeri kepada penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga bertanggungjawab memastikan bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.

“Semangat yang terkandung dalam pentadbiran Kerajaan Negeri ialah menyeluruh. Slogan ‘Kita Selangor Maju Bersama’ bermakna tiada rakyat yang tertinggal dan tersisih di negeri ini.

“Yang paling penting sokongan, bantuan dan dukungan diberikan Kerajaan Negeri harus tepat sampai ke sasaran iaitu mereka yang memerlukan,” katanya pada Majlis Apresiasi MPKK di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar dengan penerima Anugerah Khas MPKK bagi setiap daerah sempena Majlis Apresiasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin turut menyampaikan anugerah kepada kampung tradisi terbaik peringkat daerah, Anugerah Khas MPKK Terbaik dan Anugerah Khas Ikon Ketua Kampung.

Hadir sama EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim, EXCO Agama Dr Fahmi Ngah dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Mohd Kamri Kamaruddin.

Menurut beliau, ketua kampung dan ahli MPKK memainkan peranan yang cemerlang sepanjang pandemik Covid-19 dan bencana banjir dari 2020 hingga 2021.

“Saya harap semua ahli kekal membantu walaupun ada dalam kalangan MPKK tidak dilantik semula, terus memberi kesedaran dan keyakinan dengan ilmu yang cukup buat masyarakat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Khas MPKK Terbaik kepada Ketua Kampung Sungai Apong, Sabak Bernam Mohd Shah Razad Abd Ghani sempena Majlis Apresiasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu Rizam berkata seramai 373 ketua kampung dan pengerusi MPKK diraikan dalam majlis tersebut.

“Ia bagi menghargai sumbangan dan khidmat yang dicurahkan pemimpin masyarakat. Ketua kampung dan barisan kepimpinan seluruh negeri memainkan peranan sebagai wakil Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.

“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun ketua kampung dan penghulu memberi komitmen terbaik buat warga Rumpun Selangor,” katanya.


Pengarang :