Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas lawatan tapak isu kecurian benih kerang di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang pada 13 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MB: Lantikan ahli majlis MBDK miliki kelayakan diploma ke atas

SABAK BERNAM, 14 FEB: Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang dilantik selepas ini mempunyai kelayakan pendidikan minimum diploma atau lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata ia selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang menyarankan jawatan itu dianggotai golongan profesional, bukan ahli politik semata.

“(Kekosongan) yang ada akan diisi segera. Sebab kita cuba memenuhi pandangan dan titah Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) agar menempatkan sekurang-kurangnya 50 peratus (profesional).

“Kita cuba penuhi tahun pertama ini dengan meletakkan mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas. Yang kita sudah lantik atau pilih itu yang kebanyakan mempunyai kemahiran atau kelayakan ikhtisas yang layak untuk dipanggil profesional apabila mereka terlibat dengan bidang mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam  dan melakukan lawatan tapak isu kecurian benih kerang di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) meninjau perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam ketika melakukan lawatan tapak isu kecurian benih kerang pada 13 Februari 2024. Turut sama EXCO Pertanian Ir Izham Hashim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebelum ini Amirudin berkata sekurang-kurangnya 15 nama yang dicadangkan bagi mengisi jawatan ahli MBDK mempunyai kelayakan pendidikan minimum diploma atau lebih tinggi.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya sempena istiadat pengisytiharan MBDK menyarankan ahli majlis dianggotai sekurang-kurangnya 50 peratus golongan profesional pelbagai bidang, tidak hanya dipelopori ahli politik semata.

Titah Baginda lagi ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi kaum yang menetap di Klang agar semua kaum diwakili dengan jumlah berpadanan.

Pada 2 Februari 15 individu mengangkat sumpah ahli MBDK yang didahului Orang Besar Daerah Klang yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohammed Khusrin.


Pengarang :