Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor membawa keluar mayat mangsa nahas pesawat ringan di Kampung Tok Muda, Kapar untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 14 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis: Cedera anggota badan akibat nahas punca kematian juruterbang, pembantu

KLANG, 14 FEB: Bedah siasat terhadap dua mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Kapar semalam mendapati punca kematian mereka disebabkan pelbagai kecederaan pada anggota badan akibat nahas pesawat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa nahas iaitu juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, selesai pada 12.15 tengah hari tadi.

“Hasil bedah siasat yang bermula pukul 10 pagi mendapati punca kematian akibat multiple injuries due to plane crash, pemeriksaan cap jari juga mengesahkan mangsa merupakan Daniel Yee dan Roshaan Singh.

“Waris kedua-dua mangsa telah dihubungi untuk proses serahan mayat mangsa dan pihak polis bekerjasama dalam urusan penghantaran mayat ini ke lokasi yang ditetapkan oleh keluarga kelak,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Vijaya Rao berkata pihaknya telah merakam lima keterangan saksi berhubung nahas berkenaan yang berlaku di sebuah ladang kelapa sawit di Kapar.

“Kelima-lima individu ini melihat kejadian berkenaan dan keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.

Mengenai kotak hitam pesawat terbabit, Vijaya Rao berkata perkara itu disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi sebelum dilaporkan terhempas pada 1.45 tengah hari.

— BERNAMA


Pengarang :