Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa keluar mayat salah seorang daripada dua mangsa nahas pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat pada 13 Februari 2024. FotoBERNAMA (2024)
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan di Klang

SHAH ALAM, 14 FEB: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Klang semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan agar keluarga mendiang diberi kekuatan, sabar dan tabah menghadapi ujian.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon dan Roshaan Singh Raina di atas pemergian mereka dalam tragedi nahas pesawat ringan semalam,” katanya di Facebook.

Semalam, Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan mengesahkan kedua-dua mangsa maut dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter di kawasan ladang kelapa sawit.

Sebelum kejadian, pesawat ringan model BK160 Gabriel itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari untuk melakukan penerbangan rekreasi.


Pengarang :