Keluarga mangsa nahas pesawat kelihatan hadir ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi proses pengecaman mayat pada 14 Februari 2024 susulan tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar yang mengorbankan dua mangsa. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bedah siasat selesai, jasad mangsa nahas pesawat dituntut keluarga

KLANG, 14 FEB: Jasad dua mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kapar semalam dituntut keluarga masing-masing petang ini selepas proses bedah siasat selesai.

Jasad pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, dituntut keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini kira-kira 3 petang dan dibawa ke rumah keluarganya di Sunway Bukit Lenang, Johor Bahru.

Difahamkan urusan persemadian Roshaan Singh akan dilakukan esok.

Sementara itu, jasad juruterbang pesawat malang berkenaan Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, pula dibawa keluar keluarganya dari Jabatan Forensik HTAR pada 6.08 petang ke Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk disemadikan.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa mendapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan nahas pesawat.

Kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari semalam.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

— BERNAMA


Pengarang :