AGENDANASIONAL

Klinik kesihatan di Beluran terbakar, operasi dipindah sementara di dewan serba guna

SANDAKAN, 15 FEB: Perkhidmatan kesihatan yang disediakan Klinik Kesihatan Tangkarason di Beluran dipindahkan sementara ke Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason berikutan kejadian kebakaran di klinik itu pada awal pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Asits Sanna berkata langkah itu bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan setelah kebakaran memusnahkan klinik berstruktur kayu itu, termasuk sebuah kuarters.

“Keseluruhan bangunan klinik dan kuarters yang berstruktur kayu, termasuk semua aset dan kelengkapan perubatan serta peralatan telah musnah sepenuhnya dalam kejadian ini.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bergegas ke tempat kejadian, sejauh 215km dari balai dan mendapati klinik serta kuarters musnah 100 peratus setiba di tempat kejadian.

Operasi pemadaman terkawal pada pukul 6.20 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 8.26 pagi.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :