Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya pada 15 Februari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jawatankuasa khas teliti bidang kuasa DUN, perkasa mahkamah syariah

SHAH ALAM, 15 FEB: Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan pada 28 Ogos 2023 untuk meneliti bidang kuasa undang-undang Islam serta memperkasa mahkamah syariah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah jawatankuasa khas itu diberi tempoh setahun dari tarikh ditubuhkan untuk mencadangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenan.

“Jawatankuasa ini berperanan melaksanakan kajian isu berkaitan termasuk menganalisis peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh. Ia juga mengkaji keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu tersebut secara terperinci.

“Kemudian, jawatankuasa ini akan mencadangkan kaedah penyelarasan terbaik untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika mempengerusikan mesyuarat MKI yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda juga mengingatkan semua pihak menghormati keputusan mahkamah persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

“Dalam menangani isu berbangkit, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari jawatankuasa khas berkenaan,” titah baginda.

 

 

 


Pengarang :