Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 15 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri junjung titah Sultan, hormati keputusan mahkamah persekutuan

SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan Negeri menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran negeri sentiasa mengikut garis panduan dan kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dalam isu menggubal undang-undang jenayah syariah.

Menurut Dato’ Seri Amirudin usaha kerajaan persekutuan juga disifatkan jelas dalam meminda perlembagaan supaya enakmen syariah dapat dikukuhkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 15 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Hari ini MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) membuat kenyataan dikeluarkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Saya selaku Dato’ Menteri Besar menjunjung tinggi titah Tuanku yang melihat isu ini lebih kepada isu perlembagaan dan urusan pentadbiran negara serta pentadbiran syariah berbanding dengan sikap mempolitikkan sesetengah pihak yang kekeringan idea,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor ketika majlis Perhimpunan Setia APM Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 15 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah mengenai kepentingan usaha mencari jalan mengatasi isu itu dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam menangani isu berbangkit, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari jawatankuasa khas berkenaan,” titah Baginda.


Pengarang :