Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Beroperasi tanpa lesen, pemilik premis kitar semula diheret ke mahkamah

SHAH ALAM, 16 FEB: Seorang pemilik premis kitar semula dan barangan lusuh dihadapkan ke Mahkamah Telok Datuk, Kuala Langat atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, kelmarin.

Menurut Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) seorang lelaki berumur lewat 20-an didakwa mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 UUK Pelesenan Tred dan Perindustrian (MDKL) 2007.

“Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Orang Kena Saman (OKS) pada 17 Januari lalu.

“OKS hadir tanpa diwakili peguam dan membuat pengakuan bersalah. Majistret Khairul Farhi Yusob menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000,” katanya menerusi Facebook.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan MPKL Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa Ahmad Razali Abd Manaf.

MPKL menasihatkan syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti perniagaan supaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah bagi mengelak tindakan perundangan.

“MPKL juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada dan peraturan yang ditetapkan sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan,” katanya.

 


Pengarang :