AGENDAJENAYAH

Pemandu lori mengaku tidak salah perdaya warga emas lebih RM1 juta

MELAKA, 16 FEB: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan menipu warga emas sebanyak RM1.029 juta pada tahun lepas.

Tertuduh, M Gopala Krishnan, 39, dituduh menipu Yap Koh Cheng, 69, dengan memperdaya mangsa supaya mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajak ladang kelapa sawit dan dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan jumlah wang berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Lendu, Alor Gajah, pada Jun 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM45,000 terhadap tertuduh selepas merujuk kepada nilai kerugian dialami mangsa.

Peguam tertuduh K Shareveen bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM3,000 sebulan selain mempunyai lima anak berusia setahun hingga 10 tahun.

Hakim Azaraorni Abd Rahman membenarkan Gopala Krishnan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah.

-BERNAMA


Pengarang :