AGENDANASIONAL

KPKM tawar Geran Agropreneur Muda pada program Madani Rakyat Zon Tengah

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Sebanyak 31 program Iltizam Selangor Penyayang akan dikentengahkan sepanjang tiga hari penganjuran Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga 25 Feb ini, di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Penyelaras Program MADANI Rakyat, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata antara program Iltizam Selangor Penyayang berkenaan ialah Rumah Idaman Selangor, Skim Air Darul Ehsan dan Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN), iaitu perlindungan insurans percuma ditawarkan kepada rakyat Selangor.

“Sebelum ini Iltizam Selangor Penyayang sifatnya domestik, maksudnya rakyat Selangor sahaja yang tahu, tetapi kali ini definisi lebih luas. Orang yang di luar Selangor juga akan tahu dan sampaikan kepada mereka (rakyat Selangor) yang belum tahu manfaat ini,” katanya dalam Program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

Selain itu, sebanyak 163 perkhidmatan kerajaan bakal disediakan untuk pengunjung pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah melibatkan 121 perkhidmatan agensi Persekutuan daripada 26 kementerian, manakala selebihnya perkhidmatan kerajaan negeri.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selaku kementerian peneraju akan menawarkan Geran Agropreneur Muda pada program berkenaan.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani KPKM, Zurihanmi Zakariya berkata inisiatif itu akan memberi peluang kepada generasi muda di Kuala Selangor dan kawasan sekitarnya untuk memohon geran berkenaan sekali gus menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan agro.

“Sebagaimana sedia maklum, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sabak Bernam dan sekitarnya merupakan kawasan pertanian. Jadi kita bawa geran yang kita boleh tawarkan kepada masyarakat setempat dan masyarakat boleh memohon,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga menyediakan petugas bagi membantu proses permohonan geran berkenaan yang diwujudkan untuk golongan muda berumur 18 hingga 40 tahun bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian.

– BERNAMA


Pengarang :