Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan sumbangan kepada wakil Surau Al-Mashuriah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam baru-baru ini. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS agih lebih RM100,000 baik pulih empat surau di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 16 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagih sumbangan lebih RM100,000 kepada empat surau terpilih di sekitar Sabak Bernam baru-baru ini.

LZS memaklumkan sumbangan itu bagi membaik pulih surau dan penggantian serta pembelian karpet baharu.

“Keselesaan dalam menjalani ibadah harian merupakan salah satu wadah penting seorang muslim melaksanakan tanggungjawab mereka kepada Pencipta.

“Zakat Selangor telah turun padang melihat sendiri dan menziarahi empat surau dan menyampaikan sumbangan kepada mereka,” katanya di Facebook.

Surau terlibat ialah Surau At-Taqwa, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar menerima RM36,000 dan Surau Al-Mashuriah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam (RM25,948).

Selain itu Surau Al-Rahman, Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (RM50,000) dan Surau Al Khairiah, Kampung Dato’ Hormat (RM 40,300).

Simbolik serahan sumbangan disempurnakan Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Md Yusmizan Yusoff dan Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah Zainuddin Johari.

“Semua penerima menzahirkan rasa syukur atas sumbangan bantuan yang diberikan. Semoga bantuan ini dapat memberi keselesaan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima,” katanya.


Pengarang :