EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berucap pada Majlis Perasmian Karnival Bandaraya Diraja Klang di Kompleks Sukan Pandaraman, Klang pada 17 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lembah Klang Raya lonjakan ekonomi negeri, wujud pentadbiran lebih lancar

KLANG, 18 FEB: Inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Lembah Klang Raya melibatkan empat pihak berkuasa tempatan membantu melonjakkan lagi ekonomi dan mewujudkan pentadbiran yang lebih lancar.

EXCO kerajaan tempatan berkata  rancangan melibatkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang itu menyediakan simulasi digital seperti pengurusan trafik, bencana, proses serta reka bentuk pembangunan lokasi berteraskan pengurusan yang mampan.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, Klang pernah menjadi pusat pentadbiran negeri pada 1875 sehingga 1903 dan telah menjalani proses perbandaran dan pembangunan yang sangat pesat.

“Kita boleh lihat perubahan yang baik daripada segi landskap pembangunan Klang yang melalui beberapa era pembangunan bermula dengan era tradisional, moden, globalisasi dan kini merintis ke digitalisasi.

“Seiring dengan pembangunan pada hari ini, Kerajaan Negeri mewujudkan koridor Lembah Klang Raya untuk memberi satu lonjakan ekonomi kepada negeri.

“Menerusi pembentukan Lembah Klang Raya ini akan menjadi lokaliti pentadbiran pertama yang mesra warga emas, orang kurang upaya, mesra kanak-kanak dan menjadi bandar neutral karbon pertama di Malaysia,” katanya.

Pertunjukan bunga api memeriahkan Karnival Bandaraya Diraja Klang di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 17 Februari 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

Beliau berucap pada majlis perasmian Karnival Bandaraya Diraja Klang di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, malam tadi. Karnival tersebut dianjurkan sempena pengisytiharan Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Dalam pada itu, Datuk Bandar Datin Paduka Noraini Roslan berkata MBDK telah menyusun perancangan pembangunan bandar yang melibatkan pembangunan semula bandar dengan rejuvanasi bandar-bandar utama.

“Perancangan semula melibatkan bandar Klang, Pelabuhan Klang, pusat pertumbuhan Meru dan Kapar di samping pembangunan baru yang terancang.

“Dengan pelan dan perancangan yang dirangka dan jaringan kerjasama semua pihak tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan latar belakang sosial, ia dapat direalisasikan,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat pameran selepas pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 5 Februari lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan MBDK.

Baginda berkenan melafazkan pengisytiharan dan mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai datuk bandar MBDK berkuat kuasa 23 November tahun lalu.


Pengarang :