Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Gerbang ekonomi negara, Klang pesat membangun, lengkap prasarana

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang keunikan serta kekayaan sejarah Klang yang pernah menjadi pusat pentadbiran Negeri Selangor antara tahun 1875 sehingga 1903, dan sejak itu, melalui pelbagai detik dan proses perubahan dari segi landskap fizikalnya serta kerencaman budaya.

Dari segi prestasi pengurusan, sudah pasti mana-mana pihak berkuasa tempatan harus menepati syarat dan kriteria untuk berjaya diiktiraf sebagai sebuah majlis bandaraya, dan saya yakin Klang tidak terpisah daripada keperluan ini. Misalnya, sejak tahun 1998, Majlis Perbandaran Klang telah menerima Sijil Bersih buat kali ke-25 berturut-turut. Kedudukan kewangan juga bertambah kukuh. Bekas yang dipertua Majlis Perbandaran Klang kini merupakan pegawai kewangan negeri. Yang dipertua hari ini pernah menjadi datuk bandar ketika Subang Jaya dinaikkan taraf kepada sebuah majlis bandaraya pada tahun 2020.

Sekian lama, bandar raya Klang telah terus berkembang menjadi antara pusat ekonomi utama negara, selain daripada satu pusat pentadbiran, pusat industri, serta pusat pelancongan yang mencerminkan kekayaan lokaliti dan masyarakat yang berbilang budaya dan fahaman.

Tambahan kepada itu, Klang merupakan tuan rumah kepada pelabuhan ke-12 paling sibuk di dunia dan kedua paling sibuk di Asia Tenggara iaitu di Pelabuhan Klang. Apabila bertemu dengan para pelabur tempatan dan luar negara, saya seringkali menyebut bahawa Selangor adalah Gateway to ASEAN, Selangor adalah pintu masuk ke Asia Tenggara, dan Klang dengan pelabuhannya adalah pintu masuk ekonomi Malaysia. Kini, Klang bakal dihubungkan ke jaringan pengangkutan awam yang dapat tiba di Kuala Lumpur yang dijangka siap pada tahun hadapan. Bukan itu sahaja, jaliran lebuh raya yang sedang dibina oleh Kerajaan Persekutuan iaitu WCE West Coast Expressway bakal menghubungkan Klang dan kawasan Pantai Barat Selangor sehingga ke Taiping mampu meningkatkan tahap keterhubungan ke bahagian utara.

Pesat dan mampan

Tambahan kepada itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengilhamkan sebuah hospital baharu untuk mengatasi kekangan kesesakan fasiliti di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dan Alhamdulillah, atas kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia, bidang tanah seluas 50 ekar yang disediakan sedang diusahakan di kawasan Meru bagi membina satu hospital baharu di Kapar dengan fasiliti moden dan canggih dilengkapi 300 katil, bagi menyelesaikan isu tempoh menunggu lama pesakit bagi mendapatkan rawatan perubatan. Dan Insya-Allah, hospital ini yang sedang dalam proses pembinaan dijangka siap pada akhir tahun 2025.

Klang juga merupakan satu tempat yang sedang bergerak pantas ke arah menangani cabaran perubahan iklim dan menjadi lebih berdaya tahan serta menjadi sebuah bandar rendah dan neutral karbon. Melalui anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings, sebuah loji jana kuasa di Pulau Indah dengan kapasiti 1,200 MW dengan tahap kecekapan lebih 60 peratus berbanding kaedah konvensional bakal siap dan saya percaya Majlis Bandaraya Diraja Klang mampu menjadi antara bandar pertama di Selangor dan Malaysia untuk mencapai status Bandar Rendah Karbon.

Pemandangan bandar Klang. Foto Facebook Klang Bandar DiRaja

Maknanya, Klang mempunyai segala asas yang diperlukan untuk mana-mana bandar untuk terus berkembang secara pesat dan mampan. Itu yang mendorong dan meyakinkan pentadbiran negeri bahawa Klang harus, wajar, dan mampu mengangkat cabaran untuk menjadi sebahagian daripada gagasan baharu yang ingin dibentuk untuk menjadikan Selangor bukan sekadar negeri paling maju di Malaysia, tetapi negeri paling maju di Asia Tenggara dan antara top 5 di Asia melalui Lembah Klang Raya.

Tahun ini, saya akan membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama untuk mengoptimumkan prestasi pentadbiran ini dan memastikan perancangan yang digariskan di dalam RS-1 dapat diimplementasikan sebaiknya. Majlis Perbandaran Klang telah menyusun perancangan pembangunan bandar, tiga ke lima tahun yang melibatkan pembangunan semula bandar dengan rejuvanasi bandar-bandar utama seperti bandar Klang, bandar Pelabuhan Klang, pusat pertumbuhan Meru dan Kapar, di samping pembangunan bandar baru yang terancang.

Pulihara warisan

Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan lama juga diberi perhatian serius bagi memastikannya kekal diwarisi dan pembangunan baru perlu diharmonikan bersama. Ciri-ciri bandar diraja juga perlu diberi keutamaan di dalam mereka bentuk dan merancang pembangunan bandar. Pada masa yang sama, kita harus akui bahawa cabaran baharu yang dihadapi oleh bandar-bandar matang di seluruh dunia adalah limitasi tanah.

Sudah pasti dengan peningkatan penduduk yang menggambarkan penarikan industri dan kewujudan peluang pekerjaan, aspek seperti perumahan terutamanya yang berkualiti dan mampu milik harus dibina. Jalan dan infrastruktur utama harus dibina baharu ataupun dinaik taraf dan diselenggara dengan lebih elok. Pengurusan sisa pepejal sama ada di perumahan ataupun komersial merupakan cabaran yang masih dihadapi di Klang dan tidak boleh dilengahkan.

Kita faham bahawa terdapat koleksi perindustrian kecil dan sederhana yang telah lama wujud di Klang. Ada yang menggunakan tanah yang lain daripada hasrat asal. Ini perlu diurus dengan lebih pantas dengan memudah cara ataupun melalui penguatkuasaan kerana kita bukan sahaja ingin mewujudkan peluang ekonomi tetapi keadaan dan persekitaran ekonomi yang disusun rapi supaya kemampanan pengurusan dapat diangkat dan dipelihara.

Saya mengucapkan tahniah bahawa program seperti pemeliharaan alam sekitar giat diteruskan dengan program “Hari Bebas Kenderaan” yang diadakan setiap bulan, program penanaman pokok, pembersihan sungai, program kitar semula, program sukan dan riadah dan pelbagai program yang melibatkan penyertaan semua pihak termasuk agensi dan orang awam.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian, Klang juga merupakan nadi kepada dua lagi pembangunan utama yang diikhtiarkan oleh pentadbiran negeri, iaitu pembinaan Jajaran Rel yang menghubungkan laluan LRT-3 (transit aliran ringan) di Klang sehingga ke kawasan seperti Jeram, Kuala Selangor, Tanjong Karang, sehingga lah ke Sabak, InsyaAllah.

Yang kedua, untuk merealisasikan hasrat yang telah lama wujud namun belum matang sehinggalah intervensi pada tahun 2018 dan 2019 iaitu Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE-SMG) di sepanjang jajaran Sungai Klang. Jajaran Rel Kita Selangor yang direncanakan akan menjadikan Majlis Bandaraya Diraja Klang sebagai titik tengah antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya ke kawasan seperti Jeram, Kuala Selangor, Tanjong Karang.

Lembah Klang Raya

Dengan adanya pembinaan rel ini, mereka yang menetap di kawasan Pantai Barat dapat menaiki tren dan tiba di Klang, Petaling Jaya, mahupun Kuala Lumpur di antara masa 30 minit sehingga sejam, tanpa perlu bergantung sepenuhya kepada kenderaan peribadi. Ini juga dapat menghidupkan lagi kawasan-kawasan baharu di Klang serta Kuala Selangor dan Tanjong Karang dengan mewujudkan kawasan dan penempatan baharu yang mampu menjadi penyuntik kepada aktiviti baharu ekonomi dan industri.

Selain itu, usaha Lembah Klang Raya yang saya sebut pada peringkat awal tadi akan memberi lonjakan kedua negeri Selangor supaya kawasan yang bermula dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sehingga ke Subang Jaya dan Shah Alam, dan akhirnya ke Klang, menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan antara lima lembah utama di Asia selepas direalisasikan sepenuhnya. Lembah Klang Raya menghimpunkan 3.4 juta penduduk, iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri Selangor, dan lebih 10 peratus daripada jumlah penduduk seluruh negara.

Meskipun bandar-bandar ini matang, usaha rejuvenasi dan regenerasi kawasan-kawasan matang dapat menarik pelaburan dalam industri digital serta teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, pusat penempatan pusat-pusat data, serta model bagi sistem pengurusan perkhidmatan kerajaan yang mengalihkan aspek-aspek pertindihan serta berteraskan pengurusan yang mampan.

Saya tidak lihat mengapa Lembah Klang Raya tidak mampu menandingi dan menjadi alternatif kepada kota Singapura ataupun Greater Seoul dan Greater Tokyo, dan dengan wujudnya kesalingfahaman dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, saya akan berbincang dengan YAB perdana menteri supaya Lembah Klang Raya diberikan status zon ekonomi khas supaya potensi penuh keempat-empat bandar ini dapat direalisasikan.

Saya yakin dan percaya dengan adanya semangat optimis dan inovatif, kita berupaya mengekalkan negeri Selangor sebagai sebuah negeri terbaik dan terus berdaya maju. Klang juga telah diberi peranan khusus di dalam merancang tadbir urus perubahan iklim untuk mendepani cabaran pembangunan di samping pengekalan kelestarian alam sekitar. Kerajaan Negeri Selangor percaya, dengan mandat dan tanggungjawab yang diberikan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang mampu mencorak pembangunan Selangor yang lebih cemerlang.

Allah SWT mudahkan jalan,
Menggapai Bandaraya satu impian,
Kekal nama jadi bualan,
Tanda nobat satu kejayaan.

Perkenan Sultan hati berbunga,
Rasa prihatin Sultan tercinta,
Raja berdaulat rakyat berbangga,
Sejahtera Sultan kekal bertahta.

Perkenan Sultan sejarah tercipta,
Demi rakyat bahagia selesa,
Terima kasih ungkapan kata,
Tanda budi balas berbahasa.

Petikan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 5 Februari


Pengarang :