Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pembangunan Sabak Bernam pacu industri makanan, cipta 3,600 peluang kerja

SHAH ALAM, 19 FEB: Inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dijangka menjana sekitar RM1.9 bilion pelaburan sekali gus mencipta 3,600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), SABDA bakal memastikan keterjaminan makanan Selangor dengan menyokong projek pertanian dan memajukan ekonomi biru.

Jelas Amirudin, projek mega yang menjadi antara zon ekonomi utama Selangor juga membangunkan industri perikanan daerah itu termasuk pengeluaran produk hiliran makanan laut.

“Ia juga mengangkat ekopelancongan air dan pertanian dengan impak minimum alam sekitar,” katanya di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut katanya antara infrastruktur yang dimajukan termasuk Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang, projek ekopelancongan Ban Canal dan Taman Agro Smart Selangor.

“Selain itu pusat perikanan berteknologi tinggi Sekinchan, pusat perniagaan Air Manis serta pusat setempat pembinaan dan penyelenggaraan bot atau kapal nelayan di Sungai Lang.

“Insya-Allah pensijilan Kesatuan Eropah (EU) bagi projek perikanan berskala besar juga sedang diusahakan,” katanya.

Katanya projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang telah mencapai kemajuan purata 88.7 peratus pada 30 September bakal membawa impak sosioekonomi terhadap SABDA.

Melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar, SABDA merangkumi enam projek utama yang dijangka beroperasi mulai 2025.

Ia melibatkan lima kluster iaitu menambah komoditi bernilai tinggi, khidmat sokongan, membangun industri hiliran dan asas tani, meningkatkan sektor pelancongan serta merancakkan pembangunan infrastruktur.

Foto Facebook Amirudin Shari

 


Pengarang :