Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada Jualan Ehsan Rahmah Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 19 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk manfaat jualan murah, dapat jimat belanja dapur

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

GOMBAK, 19 FEB: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dimanfaat sebaik-baiknya penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di sini hari ini.

Warga emas, Che Ali Long, 77, berkata beliau berbelanja di jualan murah itu setiap kali diadakan berdekatan rumahnya di Selayang Baru bagi menjimatkan belanja dapur.

Che Ali Long

“Saya duduk berdua dengan isteri sahaja. Perbelanjaan barang keperluan asas kami tidak begitu tinggi namun sebagai yang sudah tidak bekerja, kami dapat berjimat melalui jualan murah ini.

“Saya tidak lepaskan peluang untuk berbelanja di sini kerana hanya di JER harga ayam seekor dijual pada harga sangat rendah,” katanya ketika program di Dataran Bougainvilla Kampung Sungai Kertas.

Bagi pekerja kedai makan, Norhazwani Sulaiman, 36, beliau berkata JER dapat menjimatkan perbelanjaan harian memandangkan kos sara hidup makin meningkat.

Norhazwani Sulaiman

“Saya duduk bersama ibu yang sudah tua. Adakalanya anak buah akan berkunjung ke rumah, jadi bahan keperluan asas seperti telur dan beras perlu sentiasa ada di rumah.

“Harga yang ditawarkan sangat murah berbanding beli di pasaran luar. Saya juga membeli barang untuk kakak yang juga berpendapatan rendah dan mempunyai isi rumah yang ramai,” katanya.

Senada, Fatimah Ibrahim, 63, menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri itu sangat membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan barang keperluan asas dengan harga berpatutan.

Fatimah Ibrahim

“Selain harga murah, barangan lain yang dijual sangat menepati keperluan sebuah rumah seperti bahan kering iaitu biskut dan susu tin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat (PKM) Rakyat DUN Sungai Tua berkata lebih 400 keluarga menerima manfaat JER hari ini walaupun ketika musim cuti persekolahan.

“Bagi memastikan program lancar, PKM akan memilih lokasi sesuai untuk penganjur dan juga pengunjung selain mengutamakan keselesaan semua pihak,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).


Pengarang :