Pengunjung menunjukkan barangan asas yang dibeli ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Desa Coalfield, Kuala Selangor pada 19 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

10 sekeluarga serbu Jualan Ehsan Rahmah DUN Jeram

KUALA SELANGOR, 19 FEB: Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram ‘diserbu’ serombongan keluarga di sini hari ini.

L Jasmine, 24, berkata dia datang bersama sembilan saudaranya terdiri daripada adik-beradik serta sepupu bagi membeli barangan dapur terutama beras dan telur.

L Jasmine

“Setiap kali ada jualan ini, kami berjanji untuk datang bersama-sama. Hari ini kami datang 10 orang menaiki motosikal dan kereta. Kami datang awal sebab tak mahu barang habis.

“Jualan ini memang ditunggu sebab dapat jimatkan belanja dapur. Harga ditawarkan murah namun kualitinya tinggi,” katanya pada JER di Desa Coalfield.

Saanah Aman

Pekerja am, Saanah Aman, 47, berharap program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan lebih kerap di kawasan penduduk berpendapatan rendah.

“Jualan ini murah jadi memang bantu jimatkan belanja penduduk susah. Sebab itu kalau boleh kita nak program kerap diadakan.

“Hari ini saya berbelanja lebih untuk bekalan dua bulan kerana program ini bukan selalu. Ini dapat mengurangkan kos belanja harian,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).


Pengarang :