AGENDANASIONAL

Kakak maut, adik lelaki parah motor rempuh belakang lori melintas

ALOR SETAR, 19 FEB: Seorang remaja perempuan maut manakala adik lelakinya yang berusia lima tahun cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh belakang lori di Jalan Gunung Keriang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata remaja berusia 19 tahun itu, yang tinggal di Alor Janggus di sini, maut di tempat kejadian manakala adiknya mengalami pendarahan kepala dan telah dibawa ke hospital.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima maklumat berhubung kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori itu pada kira-kira 2.10 petang tadi.

“Hasil siasatan mendapati adik-beradik itu sedang dari arah lampu isyarat Alor Janggus menuju ke lampu isyarat Gunung Keriang manakala lori yang dipandu lelaki berusia 59 tahun dari simpang jalan tar mini di kawasan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang sedang bergerak lurus melanggar bahagian sisi kiri belakang lori yang melintas secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.

“Pemandu lori telah menyerah diri dan ditahan untuk siasatan lanjut. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk proses bedah siasat dan adik mangsa juga dirawat di hospital yang sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :