Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada Jualan Ehsan Rahmah di Jalan Cempaka 31, Kampung Pandan, Pandan Indah pada 20 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kaunter Padu di jualan murah mudahkan pengunjung daftar, kemas kini maklumat

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 20 FEB: Selain membeli pelbagai barangan asas pada harga murah, pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah berpeluang mendaftar dan mengemas kini maklumat di kaunter Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Pengurus Pusat Khidmat (PKM) Rakyat DUN Pandan Indah, Nariza Zain berkata pihaknya mengambil peluang membuka kaunter Padu bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat serta mengetahui manfaat disediakan.

Pengurus Pusat Khidmat (PKM) Rakyat DUN Pandan Indah, Nariza Zain ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Jalan Cempaka 31, Kampung Pandan, Pandan Indah pada 20 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Ada kalangan mereka tidak tahu manfaat program ini, jadi dengan adanya kaunter seperti Padu, ia memudahkan penduduk mendapatkan maklumat malah kita juga akan bawa inisiatif Kerajaan Negeri yang lain dalam program seperti ini,” katanya.

Sementara itu pengunjung Musrain Dollah, 63, memuji inisiatif PKM DUN Pandan Indah yang turut menyediakan kaunter Padu.

“Saya akui kurang mengetahui Padu ini namun dengan adanya kaunter ini, ia membantu menyalurkan pelbagai maklumat kepada rakyat.

Musrain Dollah dan Kiptiah Alwi antara pengunjung Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Jalan Cempaka 31, Kampung Pandan, Pandan Indah pada 20 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Sebaiknya lebih banyak kaunter lain dibuka bagi menyalurkan maklumat berkenaan inisiatif Kerajaan Negeri sekali gus membolehkan pengunjung bukan sahaja berbelanja tetapi memperolehi pelbagai maklumat,” katanya sambil ditemani isteri, Kiptiah Alwi, 57.

Bagi Alias Saad, 73, inisiatif Kerajaan Negeri itu memberi peluang kepada rakyat berpendapatan rendah mendapat keperluan asas pada harga murah.

“Kos kini meningkat dan kita memahaminya sebagai isu global. Dengan adanya program seperti ini, rakyat masih dapat berbelanja mendapatkan bahan mentah asas seperti ayam, telur dan beras,” katanya.

Alias Saad, pengunjung Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Jalan Cempaka 31, Kampung Pandan, Pandan Indah pada 20 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Salmah Abdullah, 70, yang sering berkunjung ke jualan murah bukan sahaja berbelanja untuk dirinya tetapi membeli keperluan asas bagi anaknya yang tidak dapat datang kerana bekerja.

“Kualiti produk seperti beras, ayam dan minyak sangat bagus. Kalau beli untuk diri sendiri dapatlah bertahan lama sedikit kerana saya tinggal berdua dengan suami di rumah,” katanya.

Salmah Abdullah, pengunjung Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Jalan Cempaka 31, Kampung Pandan, Pandan Indah pada 20 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

 


Pengarang :