EXCO Sukan Najwan Halimi (tengah) bersama Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi (empat, kiri) dan Pengerusi Majlis Sukan Gyeonggido Lee Won Sung (empat, kanan) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Shah Alam pada 19 Februari. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDASUKANKINI

MSN Selangor jalin kerjasama beri peluang atlet berlatih di Korea Selatan

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Gyeonggido (GSC) bagi berkongsi kepakaran dalam bidang sains sukan dan pembangunan atlet.

Pengarah eksekutifnya berkata kerjasama ini membolehkan atlet negeri menyertai kejohanan di Korea Selatan dan dibimbing jurulatih berpengalaman sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos.

“Menerusi kerjasama ini kita boleh hantar atlet untuk berlatih di sana memandangkan Gyeonggido merupakan sebuah negeri yang berjaya melahirkan hampir 70 peratus atlet Olimpik untuk Korea Selatan.

“Sebelum ini, kita ke Seoul untuk melihat sendiri potensi latihan, peralatan dan kepakaran yang mereka ada sebelum menjalinkan sebarang kerjasama.

“Sebagai timbal balik, atlet dari Gyeonggido boleh berlatih dan menggunakan kemudahan sukan yang ada di Selangor ketika musim sejuk pada November hingga Februari,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau bersama Pengerusi GSC Lee Won Sung menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di ibu pejabat MSNS di sini semalam. Hadir sama EXCO Sukan merangkap Pengerusi MSNS Najwan Halimi.

Menurut Mohd Nizam, pihaknya turut mempertimbangkan beberapa acara individu yang akan disertai dalam kejohanan sukan di Gyeonggido pada Mei hadapan.


Pengarang :