Pasukan keselamatan menangkap pendatang asing yang melarikan diri dari depoh tahanan Imigresen Bidor Khamis lepas dalam operasi bersepadu pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis luaskan kawasan cari tahanan lolos depot imigresen Bidor

IPOH, 20 FEB: Polis akan meluaskan skala pencarian bagi mengesan 30 pendatang tanpa izin yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada 1 Feb lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kawasan pencarian itu turut tertumpu di daerah Kampar, Muallim serta lokasi yang difikirkan berpotensi untuk tahanan tersebut menyembunyikan diri.

“Kita akan gunakan pelbagai aset dan informasi yang kita ada untuk kesan semula semua pendatang asing yang telah meloloskan diri. Buat masa ini skala pencarian diluaskan berdasarkan daripada maklumat awam yang kita terima.

“Jadi, lokasi pencarian ini kita tidak terhad di Tapah sahaja sebaliknya diluaskan ke daerah lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Ujian Mara Lasak KP Hero Perak 2024 di Padang Tembak Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.

Pada 16 Feb lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan pencarian terhadap baki tahanan pendatang tanpa izin yang melarikan diri itu akan dilakukan berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam.

Setakat ini, seramai 101 daripada 131 pendatang asing berkenaan telah ditahan, manakala dua lagi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya.

-BERNAMA

 


Pengarang :