Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Azrin Borhan memeriksa dokumen penunggang motosikal warga asing yang ditahan ketika Op Patuh Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Puchong Selatan pada 23 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

JPJ keluar 781 saman pelbagai kesalahan kepada warga asing

KUALA TERENGGANU, 20 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 781 notis saman atas pelbagai kesalahan terhadap warga asing di seluruh negara sepanjang 20 hari Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata sebanyak 781 kenderaan turut disita kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.

“Dalam operasi tersebut kita telah memeriksa 2,500 kenderaan yang dipandu warga asing. Di Terengganu sahaja kita kesan ada 281 kesalahan.

“Kebanyakan pesalah terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Pakistan,” katanya pada sidang media Op Khas Motosikal di Kuala Terengganu hari ini.

Sehubungan itu, Lokman memberi amaran tegas kepada mana-mana pemilik kenderaan warga tempatan yang memberi sewa atau menjual kenderaan kepada warga asing.

Menurut beliau mana-mana warga tempatan yang didapati terlibat dalam aktiviti tersebut akan berdepan hukuman keras termasuk disenarai hitam.

“Kebelakangan ini isu kebanjiran warga asing dah jadi isu besar dan kita terima banyak aduan daripada orang ramai.

“Oleh itu JPJ terpaksa ambil tindakan tegas dan menjalankan operasi bersepadu bersama agensi lain untuk menegakkan undang-undang termasuk peraturan jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu beliau, berkata JPJ juga telah mengeluarkan 63,414 notis saman atas pelbagai kesalahan di seluruh negara sepanjang Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024.

-BERNAMA


Pengarang :