AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Agro Madani antara tarikan program Madani Rakyat Zon Tengah

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Pelbagai aktiviti menarik termasuk Jualan Agro MADANI dan khidmat nasihat geran pertanian menanti orang ramai yang hadir pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah bermula 23 hingga 25 Feb di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminanan Makanan (KPKM) dalam hantaran di Facebook hari ini, memaklumkan pihaknya juga akan mengadakan beberapa pameran sempena program itu antaranya, paddy tech, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian, AgroVet, AgroTech dan Akuakultur.

Dalam hantaran sama, KPKM turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan Petting Zoo khusus untuk peminat kucing selain pameran Lembu Sado untuk tatapan orang awam pada program berkenaan.

Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan program akan bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, TVET serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), KPKM dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :