HULU SELANGOR, 21 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menghayati kehidupan Orang Asli Hulu Tamu di sini dengan mencuba aktiviti menyumpit pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor.
Tengku Amir Shah berjaya menyumpit dan memecahkan belon dari jarak kira-kira lima meter yang turut disertai EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda yang memandu sendiri kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) ke kampung berkenaan disambut meriah lebih 100 penduduk.
Tengku Amir turut berkenan memakai tempok (aksesori kepala) dan selimpang hasil anyaman daun mengkuang suku Temuan selain menyampaikan bantuan bakul makanan sumbangan orang perseorangan kepada penduduk.
Raja Muda kemudiannya mencemar duli bertemu rakyat dan peniaga di Pasar Malam Bukit Sentosa walaupun cuaca hujan.
Baginda beramah mesra serta bertanya khabar peniaga selain memenuhi permintaan rakyat yang mahu bergambar.
Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor turut melibatkan program lain seperti Karnival Perpaduan Rumpun Selangor peringkat Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu bermula esok.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut diadakan di sembilan daerah dengan peruntukan RM4.5 juta.