Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap ketika majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media serta Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah di Hotel Concorde, Shah Alam pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais seru umat Islam bayar fidyah, sasar kutip RM14 juta tahun ini

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam segera membuat bayaran fidyah dengan sasaran kutipan RM14 juta tahun ini.

Pengerusinya memberi keyakinan kutipan itu mampu dicapai selepas kejayaan mengutip RM12.5 juta tahun lalu berbanding sasaran RM11.5 juta.

“Fidyah merupakan sesuatu yang dibayar untuk menebus diri baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

“Mais turut menyediakan kalkulator fidyah bagi memudahkan kiraan bagi yang keliru,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Mais 2024 di Hotel Concorde di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama penerima ketika Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media serta Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah di Hotel Concorde, Shah Alam pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Abdul Aziz menjelaskan kempen yang bermula 13 Februari hingga 11 Mac bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab melunas hutang fidyah.

Tambahnya, Mais bekerjasama dengan 298 rakan strategik agihan fidyah bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah secara terus kepada golongan memerlukan.

Beliau juga berharap masyarakat memberikan kepercayaan dengan menunaikan fidyah kepada Mais atau ejen dilantik seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MyEG); Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.

“Pelbagai aktiviti dijalankan Mais sepanjang kempen antaranya adalah Live Tiktok Mais, OPS Tunai Fidyah di lapangan, pembukaan Kaunter Runding Cara Baitulmal di daerah dan aktiviti agihan fidyah di lokasi terpilih.

“Justeru, saya berharap umat Islam di Selangor khususnya tidak memandang ringan dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya Ramadan,” katanya.


Pengarang :