Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar selepas majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

62 peratus tanaman terdedah ancaman bencana, penduduk luar bandar turut terjejas

PETALING JAYA, 22 FEB: Kira-kira 62 peratus tanaman di Malaysia terdedah ancaman bencana, menurut laporan yang disedia Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata kajian itu sekali gus membuktikan golongan sering terjejas akibat bencana adalah penduduk luar bandar.

“Daripada data yang dikeluarkan PLANMalaysia, 62 peratus tanaman di negara ini terdedah kepada ancaman bencana, khususnya banjir dan tanah runtuh.

“Antara 2019 hingga 2021, hampir 30,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan ia menunjukkan impak ketara berbanding di bandar,” kata Dr Khamarrul Azahari Razak.

Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana UTM Dr Khamarrul Azahari ketika Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar selepas majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai ahli panel pada Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar di PJ Live Arts, pusat beli belah Jaya One di sini, malam tadi.

Forum sempena pelancaran buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau itu menampilkan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin sebagai moderator selain panelis lain iaitu aktivis politik Hishamuddin Rais.

Dua lagi ahli panel ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago dan wakil pertubuhan bukan kerajaan Greenpeace Climate and Energy Hamizah Shamsudeen.

Menurut Dr Khamarrul negara turut mengalami peningkatan mendadak sebanyak 200 peratus bagi kadar kematian dan kerugian akibat bencana dalam tempoh antara 2019 hingga 2021.

Jelasnya negara kerugian RM6.1 bilion akibat bencana bah besar berpunca daripada Monsun Timur Laut yang membadai beberapa negeri pada 2014 dan 2021.

“Dalam kejadian banjir 2021 yang melanda Selangor itu pun, negeri sudah hilang RM3.1 bilion. Pada masa hadapan, apa yang kita gusar adalah intensiti dan frekuensi. Kita tidak mahu hadapi bencana dengan lebih kerap,” katanya.


Pengarang :