BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Warisan Tun Perak, Klang miliki 350 tapak bersejarah

Adapun Tun Perak tiada kena kerja raja, ia pergi duduk di Klang beristeri di sana. Hatta berapa lamanya, maka orang Klang pun menolak penghulunya, maka sekaliannya mengadap ke Melaka, hendak mohonkan penghulu yang lain.

Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Siapa pula kamu kehendaki akan jadi penghulu kamu itu?”

Maka sembah orang Klang, “Tuanku, jika ada ampuni duli Yang Maha Mulia, Tun Peraklah patik sekalian pohonkan akan jadi penghulu patik sekalian.”

Maka titah baginda, “Baiklah.” Maka Tun Peraklah jadi penghulu orang Klang itu.” – petikan Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang.

Nama Tun Perak sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Tokoh itu tulang belakang kehebatan Kesultanan Melaka.

Sebelum menerajui pentadbiran Melaka, bakat kepemimpinannya terlebih dahulu diasah selaku penghulu Klang.

“Sebagai penghulu dia juga menghapuskan perompak, pencuri di Klang. Beliau juga memajukan Klang.

“Kemudian dia juga bawa orang Klang membantu Melaka melawan Siam,” kata kurator Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Faisal Surani ketika ditemui Selangorkini pada 9 Februari.

Sebagai penghulu Klang, Tun Perak mendorong anak muda memajukan diri dengan mempelajari ilmu mempertahankan diri, membangunkan tanah, ilmu pertanian dan berdagang.

Hasilnya, Tun Perak bersama orang Klang berupaya membantu mematahkan serangan Siam. Kebolehannya memikat Sultan Melaka Sultan Muzaffar Syah dan menitahkan beliau ke Melaka.

Di istana, beliau berkhidmat sebagai bentara sebelum dilantik bendahara dengan gelaran Paduka Raja pada 1456.

Menurut Faisal, catatan Portugis menyebut, pada zaman Kesultanan Melaka, penduduk Klang dianggarkan antara 200 hingga 300 orang sahaja.

Bandar raya diraja

Klang secara adat berstatus bandar diraja apabila Masjid Suleiman Jamiur-Rahmah (Masjid Diraja Sultan Suleiman) selamat dirasmikan pada hari Jumaat, 23 Jun 1933.

Sebagai perbandaran pertama mencapai status bandar raya diraja, Klang mempunyai ciri istimewa berbanding bandar diraja lain.

“Bandar biasa dengan bandar diraja memang tidak sama. Secara amnya, kata orang sebab ada istana tetapi saya mahu sebut di sini, Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam pun ada istana tetapi kenapa tidak dipanggil bandar raya diraja?

“Jadi kita tahu, mesti ada keistimewaannya. Secara asasnya di Malaysia ada sembilan bandar diraja. Setiap bandar diraja ini mempunyai ciri berlainan. Persamaannya hanya istana rasmi, masjid diraja dan makam diraja,” katanya.

Berpengalaman kira-kira 40 tahun dalam penyelidikan sejarah di Selangor khasnya, Faisal berkata kriteria yang membezakan antara bandar diraja lain berbanding Klang boleh dilihat melalui tujuh komponen utama.

Bagi Klang, komponen itu Istana Alam Shah, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Makam Diraja Klang, Kampung Diraja Kampung Seri Alam, kediaman kerabat atau pembesar, padang temasya dan tulisan jawi.

Komponen lain mengukuhkan Klang sebagai bandar diraja terdapatnya istana-istana hinggap atau tendiat, lancang diraja, kubu pertahanan, pangkalan atau pelabuhan dan Jalan Istana.

Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor itu berkata terdapat lebih 350 tapak warisan bersejarah telah dikenal pasti dalam projek Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang untuk dijadikan tarikan kepada pelancong dan peminat serta pengkaji sejarah Klang.

Usaha penyelidikan sejarah dan warisan di bandar raya berkenaan masih diteruskan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

“Masih banyak data dan penemuan yang belum kita jumpa. Maklumat baharu yang kita dapat melalui penemuan baharu ini membolehkan kita mengemaskini atau membetulkan maklumat sedia ada,” katanya.

Artifak terakhir yang ditemui adalah peluru meriam lela dan seramik Cina ketika kerja membina rel transit aliran ringan berhampiran Kota Raja Mahadi yang pernah menjadi lokasi Perang Klang.


Pengarang :