Pempamer dari Eco Lestari Strategy Nasuha Jebat menunjukkan model program adiwira sungai kepada kanak-kanak pada majlis pelancaran buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SPAN: Cadang kerajaan pusat sedia dana bantu negeri tukar paip usang

PETALING JAYA, 22 FEB: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan kerajaan Persekutuan menyedia dana tahunan RM10 bilion bagi menyelesaikan isu pengurusan air tidak terhasil (NRW).

Pengerusinya Charles Santiago berkata negara kerugian kira-kira RM8 bilion sejak lima tahun lalu akibat masalah NRW dan jumlah itu dijangka meningkat saban tahun.

“Jika kita tidak selesaikan isu NRW ini, kita kerugian hampir RM20 bilion lagi dalam tempoh lima tahun akan datang dan ini bukan sesuatu yang membanggakan.

“Saya harap kerajaan dapat bantu sediakan dana RM10 bilion setahun bagi membantu operator air di negeri menukar paip usang seterusnya membantu mengurangkan NRW,” katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago ketika Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar selepas majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai ahli panel pada Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar di PJ Live Arts, pusat beli belah Jaya One di sini, malam tadi.

Forum sempena pelancaran buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau itu menampilkan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin sebagai moderator selain panelis lain iaitu aktivis Hishamuddin Rais.

Dua lagi ahli panel ialah Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia Dr Khamarrul Azahari Razak dan wakil pertubuhan bukan kerajaan Greenpeace Climate and Energy Hamizah Shamsudeen.

Menurut Charles, Perlis merekodkan kadar NRW tertinggi di Malaysia dengan 68 peratus, manakala Selangor, Pulau Pinang dan Johor mempunyai pengurusan NRW cekap dengan 28 peratus.

Jelasnya air merupakan keperluan asas yang mampu mengancam sekuriti negara dan tanggungjawab menguruskannya perlu digalas semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Sebenarnya ramai yang menggunakan air melebihi keperluan harian yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 165 liter sehari bagi setiap pengguna.

“Ada suka basuh kereta setiap hari dan ini merupakan gaya hidup tidak sihat. Kita tidak boleh sentiasa bazir air kerana dunia sedang berdepan perubahan iklim yang ketara,” katanya.


Pengarang :