Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad berkenan mengacau bubur merah ketika majlis kenduri rakyat sempena Ziarah Kasih Pekawanis bersama Tengku Hajah Permaisuri Selangor ke Anjung Utara Selangor di Rumah Gubuk Antik, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 22 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor berkenan kacau bubur merah di majlis kenduri rakyat

SABAK BERNAM, 22 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli bertemu rakyat menerusi program Ziarah Kasih Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) ke anjung utara Selangor, hari ini.

Lawatan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bermula di majlis kenduri rakyat dekat Rumah Gubuk Antik, Sungai Air Tawar itu disambut Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad berkenan memberi goodies kepada kanak-kanak ketika majlis kenduri rakyat sempena Ziarah Kasih Pekawanis bersama Tengku Hajah Permaisuri Selangor ke Anjung Utara Selangor di Rumah Gubuk Antik, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 22 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menerusi kunjungan itu, Tengku Permaisuri Selangor berkenan melakukan adat tradisi menepung tawar pasangan pengantin dan berkenan memberi gula-gula kepada kanak-kanak.

Baginda juga dibawa ke khemah rewang dan berkenan membungkus berkat untuk tetamu selain mengacau bubur merah yang merupakan makanan tradisi penduduk setempat.

Dalam lawatan itu, Baginda dibawa melawat Rumah Gubuk Antik oleh pemiliknya Zainab Zainuddin untuk dipersembah koleksi barangan antik warisan turun temurun yang mencecah sehingga 70 tahun.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan memenuhi permintaan rakyat yang mahu berswafoto serta meluangkan masa beramah mesra dan bertanya khabar.

Selesai bertemu rakyat, Baginda seterusnya melawat penduduk kampung menerusi program Ziarah medik, Siti Khomisah Keling yang kehilangan kedua-dua kakinya akibat penyakit kencing manis.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad beramah mesra bersama penduduk kampung ketika majlis kenduri rakyat sempena Ziarah Kasih Pekawanis bersama Tengku Hajah Permaisuri Selangor ke Anjung Utara Selangor di Rumah Gubuk Antik, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 22 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Seterusnya Baginda dibawa bertemu Siti Rahayu Kamarudin seorang ibu anak lima yang merupakan pencinta haiwan membela 23 ekor pelanduk, kucing dan landak di kediamannya di Sungai Terap di sini.

Pada sebelah petang, Tengku Permaisuri Selangor dijadual melawat ke Pasar Budaya Palong, Parit 8, Sungai Panjang dan seterusnya majlis santapan malam di Pam Hamka D’Muara Ikan Bakar, Sungai Haji Dorani.

Terdahulu, program Ziarah Kasih Pekawanis ke anjung utara Selangor berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Untuk esok, Baginda dijadual menyampaikan sumbangan kembali ke sekolah kepada anak-anak asnaf dan ibu tunggal di sekitar kawasan Sabak Bernam.


Pengarang :