Seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi membantu siasatan pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kes Zayn Rayyan tidak pernah henti, RM20,000 ditawar kepada pemberi maklumat

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Polis Diraja Malaysia tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang kini sudah memasuki lebih dua bulan selepas tragedi itu berlaku di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata walaupun berdepan dengan cabaran termasuk dalam mengesan lokasi utama kes pembunuhan itu, namun pihak polis tidak berputus asa dan meneliti setiap maklumat diterima, untuk menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata setiap kepakaran yang ada di jabatan berkenaan termasuk dalam aspek forensik, dikerah bagi memastikan penjenayah bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Ketika ini, pasukan saya masih melihat bahagian teknikal, kebanyakan keputusan forensik sudah ada dan cabaran kita ialah kita tidak dapat kenal pasti lokasi utama kejadian… yang kita dapat ialah lokasi kedua.

“Kita masih menunggu, masih lagi cuba buat penyegitigaan selain memperhalusi beberapa perkara teknikal termasuk kenyataan yang dikumpul daripada orang ramai,” katanya baru-baru ini.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya menjangka mungkin mendapat maklumat baharu, selepas Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri A Thaiveegan menawarkan ganjaran RM20,000, kepada individu yang menyalur maklumat sehingga penjenayah terlibat diberkas.

“Mungkin RM20,000 ditawarkan beri motivasi kepada orang yang melihat beri petunjuk baru dan apa sahaja petunjuk kita akan proses (siasat),” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak terus meletakkan ibu bapa Zayn Rayyan dalam keadaan tertekan, dengan mengaitkan kes pembunuhan anak mereka, kerana pasangan itu tidak terlibat.

Pada 5 Disember lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan hari.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :