Pelajar Tahfiz membaca Al-Quran ketika majlis Tadarus Al-Quran Perdana Hulu Selangor di Masjid Nurul Iman, Hulu Selangor pada 19 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Garis panduan baharu bantu 70 peratus maahad tahfiz swasta peroleh lesen

SHAH ALAM, 23 FEB: Sekurang-kurangnya 70 peratus daripada lebih 300 maahad tahfiz swasta yang tidak berlesen di negeri ini akan dibantu dan mendapat kebenaran beroperasi.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata menerusi program pemutihan 2.0 yang bakal dilaksana Mac ini, Kerajaan Negeri menyediakan garis panduan baharu bagi memudahkan pengusaha memohon lesen.

“Keseluruhannya ada lebih 500 pusat tidak berlesen. Pemutihan fasa pertama yang dijalankan tahun lalu, kita sudah bantu kira-kira 35 peratus pusat untuk daftar dan mendapat lesen.

“Sekarang kita sedang kemas kini pelan pemutihan 2.0. Mungkin ada pindaan atau kelonggaran syarat supaya semua pusat memenuhi kriteria dan mudah mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelantikan dan pengurniaan watikah kepada 31 anggota berkait institusi Islam negeri sesi 2024-2026.

Dr Fahmi berkata program akan dijalankan bersama agensi kerajaan termasuk PBT serta pejabat tanah dan daerah sebaik persidangan Dewan Negeri Selangor selesai.

“Rancangan ini sudah dibincang bersama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas). Proses juga mungkin mengambil masa terutama jika melibatkan isu tanah,” katanya.

Pada 17 Ogos tahun lalu, pengerusi Pitas berkata hampir 50 maahad tahfiz persendirian didaftar penuh selaras garis panduan pemutihan sekolah agama, yang dikuat kuasa Kerajaan Negeri mulai 1 Januari 2021.

Jelas Mohamad Hafiz Haneefa, pendaftaran lebih 300 pusat tahfiz dan sekolah agama akan dibuat secara berperingkat dalam fasa dua.


Pengarang :