Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati S Thiban menyempurnakan penyerahan komputer riba yang disumbangkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada lima penerima keluarga berpendapatan rendah di pejabat penyelaras DUN Bukit Melawati pada 23 Februari 2024. FOTO SOFIA NASIR/SELANGORKINI
SELANGOR

DUN Bukit Melawati lancar program tambang bas percuma kepada penuntut IPT

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bakal melancarkan program khas tambang bas percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Ahad ini.

Penyelarasnya S Thiban berkata program itu menyasar 100 penuntut yang akan ditaja perjalanan pergi dan pulang dari kediaman ke kolej atau universiti masing-masing.

“Ahad ini kita akan lancarkan program baharu kepada penuntut IPT. Istimewanya ia satu-satunya program yang ditawarkan di DUN di Selangor.

“Kita harap ini dapat membantu pelajar kurang berkemampuan. Mereka yang berminat boleh memohon di pejabat penyelaras DUN Bukit Melawati bermula esok,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan penyerahan komputer riba yang disumbangkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada lima penerima keluarga berpendapatan rendah di pejabat penyelaras DUN Bukit Melawati, di sini.

Dalam pada itu, Thiban turut mengalu-alukan ibu bapa di Bukit Melawati memohon program Bantuan Kembali ke Sekolah oleh MBI bermula hari ini sehingga 11 Mac depan.

“Permohonan bantuan itu ditetapkan kepada 300 penerima. Kita juga akan edarkan borang berkenaan kepada ketua kampung bagi memastikan golongan kurang berkemampuan tidak dipinggirkan,” katanya.

Sebelum ini MBI mengumumkan bantuan Kembali Ke Sekolah kepada 16,800 pelajar dengan perbelanjaan hampir RM1.7 juta.

Bantuan RM100 seorang itu dikhaskan untuk 300 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi setiap DUN untuk membeli pakaian sekolah atau barangan lain yang diperlukan.


Pengarang :