Orang ramai mengunjungi reruai pelbagai agensi kerajaan sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program Madani Rakyat: Pengalaman teroka ‘angkasa lepas’, eksperimen makmal di reruai Mosti

KUALA SELANGOR, 23 FEB: Orang ramai berpeluang merasai pengalaman meneroka ‘angkasa lepas’ secara realiti maya (VR) di reruai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sepanjang tiga hari Program Madani Rakyat Zon Tengah.

Pegawai Sains Mosti berkata aktiviti dijalankan dengan kerjasama Pusat Sains Negara bakal menjanjikan keseronokan kepada orang ramai yang hadir pada program di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini.

Hariz Izaan Kamarudzaman memaklumkan tarikan lain pameran interaktif Planetarium Negara dengan pengunjung berpeluang menghasilkan robot bergerak daripada bongkah atau kiub.


Pegawai Sains Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Hariz Izaan Kamarudzaman ditemui di Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita juga menawarkan aktiviti seperti eksperimen makmal, cabaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta teka-teki (puzzle) yang mencabar minda selain sesuai untuk segenap lapisan umur.

“Pada masa sama, Mosti melalui Agensi Nuklear Malaysia mempamerkan benih padi baharu kepada orang ramai. Jika mahu tahu lebih lanjut, jemput datang ke reruai Mosti,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, penolong pegawai belia dan sukan berkata Program Madani Rakyat wadah terbaik untuk memperhebat promosi geran dan bantuan tersedia bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hafizan Ahmad menjelaskan masih ada kelompok khususnya peringkat daerah belum mengetahui bentuk bantuan disediakan KBS bagi pembangunan belia dan sukan di negara ini.


Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Hafizan Ahmad ditemui dalam Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kami perlu main peranan untuk promosikan hal ini. Sememangnya banyak geran dan dana bawah KBS disediakan kepada persatuan sukan serta belia berdaftar.

“Dana itu antaranya geran padanan sukan, dana sukan komuniti dan dana pembangunan belia. Amat rugi jika mereka tidak rebut peluang ini, malah sekarang KBS dalam proses pemberian bantuan berkaitan.

“Sekiranya ada persatuan memerlukan bantuan, kita alu-alukan mereka untuk datang dan mohon,” katanya menambah program Rakan Muda KBS turut dipromosi pada acara terbabit selain permainan catur, dam dan golf disediakan kepada pengunjung.

Bagi penolong pengarah bahagian komunikasi korporat Jabatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 300 kupon bernilai RM5 disediakan kepada 300 pengunjung terawal setiap hari untuk mendapatkan pakej kombo MYGrocer meliputi bihun, tepung gandum dan sardin di reruai berkenaan.

Farahiyah Mohd Nawawi berkata usaha itu mengurangkan kos sara hidup rakyat sekali gus mempromosi MYGrocer yang giat dijalankan pihak terbabit di kawasan perumahan kos rendah sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.


Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Wilayah Persekutuan Farahiyah Mohd Nawawi ditemui dalam Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sambutan hari pertama sangat menggalakkan dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan kupon ini dan membeli barangan berkaitan. Setakat beberapa jam ini, lebih 100 kupon diagih,” katanya.

Berlangsung hingga 25 Februari, Program Madani Rakyat memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari, yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Program Madani Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember lalu.

Pengunjung menjalani pemeriksaan mata di reruai Selcare sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Orang ramai mengunjungi Kompleks Sukan Kuala Selangor sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah pada 23 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :